Tan Sri Muhyiddin serah surat letak jawatan PM
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 584
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pukul 12.30 tengah hari tadi.
Peletakan jawatan itu dibuat di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan. Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan.
"Cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.
“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi tidak perlu lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,” katanya dalam satu perutusan hari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap, kerajaan baharu dapat dibentuk segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada Oktober.
Manakala segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut.
“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,” katanya.
Tambah beliau, barisan kabinetnya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit.
“Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya.
Dalam pada itu media difahamkan, satu mesyuarat diadakan pada petang ini membabitkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Publika, Jalan Dutamas.
Ia bagi membincangkan strategi parti itu setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.




