Ismail Sabri angkat sumpah sebagai Perdana Menteri
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 949

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara petang tadi di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan tersebut.
Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara turut menyaksikan Ismail Sabri, 61, yang juga Ahli Parlimen Bera melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan Agong.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Isteri Perdana Menteri, Datin Sri Muhaini Zainal Abidin turut hadir.
Terdahulu, kenderaan membawa Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Bera itu, memasuki Pintu Dua Istana Negara pada pukul 2.12 petang.
Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu diumumkan, selepas berlangsungnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama dua jam di Istana Negara semalam.




