KUALA LUMPUR - Kemelut politik negara akhirnya menemui titik noktah apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 di Istana Negara esok.

Istiadat mengangkat sumpah ini akan diadakan pada pukul 2.30 petang.

Pelantikan Ismail Sabri, 61, sebagai Perdana Menteri diumumkan Istana Negara menerusi satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Raja-Raja selesai mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara tadi.

Naib Presiden UMNO itu disahkan mempunyai majoriti sokongan seramai 114 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya membentuk kerajaan.

Ismail Sabri yang juga dikenali sebagai Pak Long semasa dalam Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Menteri Kanan Pertahanan yang memainkan peranan penting dalam perang melawan Covid-19.

Selain Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ismail juga muncul di kaca televisyen setiap hari bagi menjelaskan tentang perkembangan semasa wabak berkenaan.

Pada 7 Julai lalu, Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Beliau yang menyertai Kabinet sejak Mac 2008 telah memegang pelbagai kementerian antaranya Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (April 2009) dan Menteri Pertanian Industri Asas Tani (Mei 2013).

Jawatan lain dipegang sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Julai 2015) sehinggalah kerajaan Barisan Nasional tumbang sebelum Perikatan Nasional mengambil alih tahun lalu.