KUALA LUMPUR - Teka-teki berhubung calon Perdana Menteri bukan sahaja dinantikan di Istana Negara, malah turut panas di media sosial.

Ini kerana terdapat beberapa platform media sosial membuat undian maya nama-nama yang layak untuk menjadi Perdana Menteri.

Selain nama-nama besar politik, tidak mengejutkan apabila politikus populis turut mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda.

Pastinya nama yang disebut seperti Khairy Jamaluddin Abu yang juga Ahli Parlimen Rembau, dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) kerana berpandangan negara perlu diketuai pemimpin muda berkaliber.

Dua wakil rakyat wanita pula ialah Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh).

Nurul Izzah dikenali dengan penampilan yang penuh karisma, lantang dan berani manakala ketokohan Azalina pula sememangnya tidak perlu dipertikaikan.

Hari ini, semua ketua parti politik akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bagi perbincangan berhubung bakal Perdana Menteri kesembilan.