IPOH – Kesedihan seorang balu selepas kematian suami sedikit terubat apabila Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Pasar Raya Econsave menyampaikan bantuan bakul makanan kepadanya di Taman Seri Desa, di sini, semalam.

Bantuan itu disampaikan Ahli Majlis MBI Zon 10 (Kepayang) Mohd Rafaad Razaali kepada V Achi Kanu, 69, isteri kepada mendiang S Alagan, 75, pesara MBI yang meninggal dunia pada Ahad lalu.

Achi Kanu berkata, suaminya telah berkhidmat selama 41 tahun di MBI dan jawatan terakhir yang disandang adalah kerani am di Perpustakaan Tun Razak (PTAR) Ipoh sebelum bersara wajib pada usia 55 tahun.

Dia berkata, mendiang suaminya itu mengalami beberapa komplikasi penyakit  seperti kencing manis dan darah tinggi dan strok selama dua tahun setengah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MBI di atas sumbangan ini. Walaupun suami sudah lama pencen tetapi MBI masih mengambil berat terhadap bekas kakitangannya,” katanya ketika ditemui Peraktastic di rumahnya semalam.

Dalam perkembangan sama, Achi Kanu yang tidak mempunyai anak kini tinggal bersendirian dan memohon supaya beberapa bahagian rumahnya yang rosak dapat diperbaiki dengan segera.

“Sekarang saya tinggal seorang diri dan amat bimbang akan keselamatan memandangkan terdapat beberapa kerosakan di rumah ini.

“Antaranya seperti paip di tandas dan dapur yang pecah serta bahagian tepi tingkap yang rosak akibat dimamah anai-anai,” katanya yang menghidap penyakit asma, kencing manis dan darah tinggi.

Berikutan itu, dia berharap ada pihak tampil memperbaiki kerosakan rumah tersebut demi keselamatan dirinya supaya tiada ada insiden tidak diingini berlaku pada masa akan datang.