IPOH - Keadaan banjir di negeri semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 191 orang membabitkan 35 keluarga.

Semalam, jumlah mangsa yang ditempatkan adalah melibatkan 241 orang daripada 66 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, seramai 111 mangsa banjir daripada 17 keluarga ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu.

“Mereka merupakan penduduk dari Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Simpang 4 dan 5.

“Manakala 50 mangsa daripada 18 keluarga di PPS SK Changkat Lobak, ini kerana sebahagian mangsa-mangsa telah kembali ke rumah masing-masing," katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian telah menerima dua unit pam bergerak yang dipinjamkan JPS negeri Perlis dalam usaha untuk mempercepatkan pengaliran air di kawasan yang tenggelam banjir.

Satu unit pam ini telah diaktifkan di kawasan Kampung Selekoh di Kerian sebagai tambahan pada kapasiti empat unit pam sedia ada.