IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta telah memberikan suntikan vaksinasi kepada lebih 10,000 orang sehingga hari ini. 
 
Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, sokongan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak membantu mereka dalam proses pemberian vaksinasi ini. 
 
Menurutnya, hari ini pemberian vaksin melalui program outreach masjid yang kedua diadakan di Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta membabitkan lebih 250 ahli kariah, ahli keluarga dan warga emas. 
 
"Setakat ini, kita telah menerima enam permohonan daripada masjid di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta dan jika ada masjid lain di sekitar Daerah Kinta yang berminat boleh hubungi bahagian pentadbiran untuk melaksanakan susun atur program outreach tersebut," katanya kepada Peraktastic, hari ini. 
 
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata pemberian vaksinasi yang dilakukan secara outreach di masjid-masjid oleh PPV Klinik Briged Utara ini adalah satu langkah efisien dan memberi kemudahan kepada penduduk setempat. 
 
Beliau yang mewakili Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, ini menunjukkan MBI prihatin dengan memudahkan masyarakat untuk mendapatkan suntikan vaksin terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar. 
 
Turut hadir, Pengerusi Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta, Hamid Buyong dan  Ketua Kampung Melayu Batu 8, Mohd Zainudin Abdullah.