Manjung- Lumut sebuah lokasi persinggahan membeli belah hasil makanan laut kini seumpama 'pekan zombie'.

Tinjauan Peraktastic ke lokasi pelancongan ini mendapati hampir semua kedai-kedai menjual hasil laut dan pakaian ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Inilah hakikat yang perlu kita terima pada hari ini, apabila kita tidak lagi boleh bebas seperti dulu. Semua orang terkesan dari aspek kehidupan.

"Selagi rantaian jangkitan pandemik ini tidak dapat diputuskan, selagi itulah kehidupan kita dibelenggu dengan kepayahan.

"Hampir semua kedai tidak beoperasi walaupun ada yang buka tetapi tiada pengunjung. Masyarakat dibelenggu ketakutan kerana wabak Covid-19, " demikian luah seorang pekerja swasta, yang mahu dikenali sebagai Farhana Yaakub, 28 tahun.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kerajaan negeri terpaksa menangguh pembukaan Pulau Pangkor.

"Pulau Pangkor masih lagi belum mencapai imuniti kelompok dan masih belum bersedia bagi Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan.

“Selewat-lewatnya kita menjangkakan perkara ini boleh dicapai pada akhir September. Sememangnya pihak kerajaan negeri memandang serius serta bersimpati kepada pengiat-pengiat pelancongan dan peniaga-peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.