IPOH - Aspek keselamatan dan kebajikan warga Ipoh di saat pandemik Covid-19 ini amat penting serta perlu didahulukan demi kepentingan bersama. 
 
Justeru, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham), Ho Wai Mun tampil membawa anggota Skuad Bantuan Krisis Malaysia (CRSM) ke pejabat kontraktor pengurusan sampah lantikan MBI untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi selepas terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19. 
 
Menurutnya, sebagai Ahli Majlis MBI, beliau harus bertindak segera dengan meletakkan kepentingan orang awam sebagai keutamaan.
 
Katanya, anggota-anggota CRSM yang diketuai Ricky Soong menjalankan kerja-kerja semburan cecair sanitasi ke pejabat kontraktor terbabit dan trak pengumpulan sampah yang terdapat di situ.
 
"Kita amat menghargai usaha mereka (pekerja kontraktor kutip sampah) dan sedar sekiranya perkhidmatan kutipan sampah tergendala ia akan akan mendatangkan masalah kepada penduduk di bandar raya ini. 
 
"Sehubungan itu, kepada individu yang menjalani kuarantin di rumah, kita sarankan supaya bahan buangan diuruskan dengan cara yang betul dengan menggunakan sekurang-kurangnya dua lapis plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah," ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.
 
Tambahnya, semua pihak harus bekerjasama dan bertanggungjawab sebagai usaha memerangi pandemik Covid-19 daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.