IPOH – Sebanyak tiga unit katil mudah laras bersama tilam dan bantal diserahkan kepada pihak pengurusan Hospital Selama bagi kegunaan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, katil berkenaan adalah hasil sumbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) negeri Perak.

Menurut beliau, pihaknya amat berterima kasih serta menghargai usaha pihak NGO yang terlibat dalam membantu untuk memerangi Covid-19 di negeri tersebut.

“Hasil kutipan yang dilancarkan NGO ini sehingga 31 Ogos lalu kita telah mengumpulkan lebih RM10,000.

“Sebanyak tiga unit katil boleh laras jenis Mechanical Hi - Lo Hospital Bed telah diserahkan oleh Papisma Perak kepada pihak Hospital Selama,” ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.

Katil-katil tersebut bakal ditempatkan di wad pesakit Covid-19 yang memerlukan penjagaan rapi.