IPOH- MB Inc. berjaya menyempurnakan mandat kerajaan negeri setelah berjaya melebihi sasaran penanaman pokok dibawah Program Kekal Hijau melalui Kempen Penanaman Pokok.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata pihaknya diberi amanah menyempurnakan penanaman pokok sebanyak 45,000 pokok selepas Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) berjaya menanam pokok sebanyak 55 ribu batang pokok.

“Namun, pada April 2021, sebanyak 75,000 pokok telah berjaya ditanam di bawah salarasan MBI Inc. dengan kerjasama 50 agensi termasuk NGO Alam Sekitar, Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, IPTA, sekolah, masjid, komuniti setempat dan Kampung Orang Asli (KOA).

“Menerusi program itu, tiga elemen diutamakan iaitu air, tumbuhan dan haiwan disamping mengekalkan kelestarian alam sekitar. Pokok-pokok nadir seperti Bakau, Berembang dan Ketapang ditanam bertujuan mengelakkan hakisan sungai disamping rehabilitasi, keselamatan dan pemuliharaan.

“Menerusi kempen ini, ia juga memberi sumber pendapatan kepada Kampung Orang Asli (KOA). Sebanyak 9,620 pokok kopi telah ditanam di KOA Kg. Air Bah, Kampong Asu Hulu Perak dan Kampung Kerawat.

“Penduduk kampung telah diberi latihan tanaman dan penjagaan pokok kopi. Selain itu, mereka diberikan penerangan tentang faedah yang diperolehi melalui inisiatif kempen penanaman pokok ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Perak Techno Trade Centre (PPTC) hari ini.

Penglibatan MB Inc. dalam melestarikan alam sekitar turut mendapat pengiktirafan dengan menerima sijil penghargaan daripada YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad dalam Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat Negeri Perak di Dataran Tasik Raban, Lenggong, Perak baru-baru ini.

Anuar menambah, audit penanaman pokok turut dilaksanakan dalam memastikan pokok-pokok yang ditanam berada dalam keadaan baik dan sihat.

“Kita telah pun menjalankan audit dalaman bersama jawatankuasa taskforce penanaman pokok untuk memantau perkembangan pokok-pokok agar berada dalam keadaan baik. Selain itu, NGO turut bersama turun padang untuk mengaudit pokok di lapangan,” ujarnya.