MANJUNG - Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil langkah segera apabila melakukan gotong-royong bagi memotong dan membersihkan kediaman seorang warga emas yang ditimpa pokok tumbang.

Rumah Zainuddin Ismail di Kampung Pasir Panjang Laut, Manjung rosak teruk ditimpa pokok mempelam berusia 45 tahun dalam kejadian ribut di Manjung minggu lalu.

Ahli Majlis MPM (Zon 5), Norhaslinda Zakaria berkata, tindakan tersebut setelah pihaknya menziarahi kediaman warga emas itu pada hari kejadian bagi melihat kerosakan rumah beliau.

Katanya, hasil perbincangan bersama Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial MPM, Issamudin Ibrahim mereka bersepakat mengadakan program gotong-royong.

"Kita merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Salleh kerana menyokong usaha yang dijalankan ini demi kebajikan penduduk Manjung.

"Sukarelawan bomba dan penduduk Pasir Panjang Laut turut bersama-sama menjayakan progrom gotong royong yang bermula pukul 8.30pagi hingga 1.30 tghari," ujarnya ketika ditemui semasa gotong-royong itu kelmarin.

Kejadian ribut kuat yang melanda Manjung baru-baru ini masih meninggalkan kesan kepada penduduknya.

Dalam kejadian petang Rabu lalu, ribut kencang menyebabkan lebih 70 rumah penduduk di sekitar Manjung dan Sitiawan rosak termasuk atap diterbangkan angin dan ada kediaman ditimpa pokok.

Sementara itu, Zainuddin, 62, yang tinggal sendirian di rumah pusaka itu berkata, dia berhadapan kesukaran untuk membaiki kerosakan dan membersihkan kawasan tersebut.

Beliau memanjatkan kesyukuran serta berterima kasih atas bantuan semua pihak yang terlibat khususnya MPM serta penduduk setempat.

"Kalau bersama dua tiga orang pun memang tak mampu nak bersihkan kawasan ini kerana pokok mempelam yang tumbang itu besar. Kena guna jengkaut.

"Keprihatinan pihak MPM khususnya Yang Dipertuanya, Syamsul Hazeman Salleh membantu saya dan penduduk lain yang ditimpa musibah sama amatlah dihargai," ujarnya.