IPOH- Pembinaan rumah mampu milik yang disasarkan sebanyak 53,000 rumah di seluruh negeri menjelang tahun 2023 berkemungkinan dilanjutkan pada tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata kekangan krisis pendemik Covid-19 telah melambatkan proses pembinaan yang sepatutnya berakhir pada masa yang ditetapkan.

“Berpandukan jumlah sasaran itu, sebanyak 15 peratus rumah mampu milik di seluruh negeri telah siap dibina dan diduduki sejak tahun 2018.

“Berdasarkan rekod permohonan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak 10,840 unit rumah mampu milik akan dibangunkan di seluruh daerah di Perak.

“Daripada jumlah tersebut 3,918 unit rumah adalah di Daerah Kinta manakala sebanyak 2,310 unit pula adalah di Daerah Manjung sementara 1,381 unit di Daerah Batang Padang,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Desa Chemor Megah hari ini.

Penyerahan kunci itu membabitkan 168 unit rumah Fasa 1 Desa Chemor Megah yang mana 152 unit terdiri daripada rumah teres satu tingkat sementara 16 unit rumah teres dua tingkat.

Hadir sama, Pengarah Urusan syarikat pemaju Liew Yin Yin Group Berhad, Datuk Seri Don Liew Mun Hon.

Setakat ini Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah menyaring 2,305 permohonan daripada golongan B40 dan M40 untuk sesi temu duga untuk Rumah Perakku I dan Rumah Perakku Il di Felcra Nasaruddin, dekat Perak Tengah.

Menurutnya, temu duga berkenaan akan dijalankan secara panggilan telefon bermula 4 Oktober ini yang mana membabitkan tawaran 234 unit rumah Perakku l dan rumah Perakku Il yang dibangunkan LPHP bersama-sama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

“Bagi lebih 5,000 pemohon untuk Rumah Perakku I dan Rumah Perakku II di Kinta, projek pembangunannya dijangka bermula pada penghujung bulan ini.

“Semenjak LPHP memperkenalkan sistem permohonan Rumah Perakku secara atas talian bermula Oktober 2019, LPHP mendapat respon yang begitu menggalakkan daripada rakyat Perak.

“Ini kerana insiatif itu telah memberi kemudahan kepada pemohon untuk mengisi dan menghantar borang secara atas talian tanpa perlu hadir ke secara fizikal ke pejabat LPHP. Inisiatif ini sangat membantu memudahkan urusan pemohon khususnya yang berada di luar kawasan Bandar Raya Ipoh,” ujarnya.