IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merupakan PBT yang pertama di negeri Perak yang melaksanakan penambahbaikan D-MBI@Ipoh Gerbang Digital MBI ke sistem Single Platform atas talian sehingga ke Versi 3.0.

Datuk Bandar Ipoh,  Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, evolusi sistem ini telah bermula sejak tahun 2012 dengan sistem e-Semak & e-Cetak dan seterusnya diikuti pula oleh sistem eBayaran@MBI pada tahun 2013. 

“Pada tahun 2021 MBI telah membangunkan sistem D-MBI@Ipoh.

“Melalui sistem ini yang diperkenalkan sejak tahun 2012, pihak MBI telah berjaya membuat kutipan hasil sebanyak RM 37,813,424.90 dengan bilangan 399,160 transaksi melalui 2 evolusi sistem iaitu e-Semak & e-Cetak dan eBayaran@MBI,” katanya ketika berucap melancarkan sistem penambahbaikan D-Mbi@Ipoh secara maya di laman sosial Facebook MBI, pagi Isnin.

 

Rumaizi berkata,  D-MBI@Ipoh ini telah diberi nafas baru dengan fungsi-fungsi baru yang lebih komprehensif, fleksibel, 'real time' dan peningkatan tahap keselamatan.

Selain itu katanya, pembayaran melalui eWallet telah ditambah di dalam sistem D-MBI@Ipoh untuk memberi kemudahan kepada pengguna membuat pembayaran selain daripada menggunakan Internet Banking dan sekali lagi MBI telah memastikan sistem atas talian adalah relevan mengikut trend semasa.

Jelas beliau, sistem ini menggunakan Single  Platform yang mana, ia membenarkan pengguna menggunakan pelbagai perkhidmatan dan membayar pelbagai jenis bayaran dengan menggunakan satu akaun pengguna sahaja.

“Ia juga boleh diakses dengan menggunakan pelbagai jenis peranti seperti telefon pintar, tablet dan komputer,” katanya lagi.

Tambahnya, platform yang mempunyai rekabentuk yang responsif ini, adalah mengikut trend semasa serta mudah digunakan.

Menjelaskan lebih lanjut, katanya pembangunan sistem D-MBI@Ipoh ini melibatkan 2 fasa.

Dalam Fasa 1 (Kewangan), sebanyak tiga fungsi telah siap dibangunkan iaitu Semakan Bil (Cukai Taksiran, Lesen, Sewaan, Kompaun dan Lain-Lain Bil), Pembayaran (menerima status pembayaran secara 'real time') dan Resit Bayaran (cetak bil).

Dalam Fasa 2 pula (Bukan Kewangan), tiga kategori perkhidmatan MBI akan dibangunakan iaitu Lesen dan Perniagaan, Komuniti dan Pemaju & Pembekal. Tiga kategori ini akan mempunyai 15 menu, antaranya adalah eLesen, MyNorisk, MyAduan, Tempahan Dewan, eSupplier dan lain-lain.

Penambahbaikan ini akan terus dilaksanakan mengikut keperluan semasa bagi mencapai hasrat Komuniti Digital menjelang 2025.

 Beliau menambah, evolusi ini bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa yang mana satu akaun untuk pelbagai pembayaran dan perkhidmatan. 

Sementara itu, katanya antara perkhidmatan yang disediakan adalah permohonan lesen premis tidak berisiko, tempahan dewan dan fasiliti Majlis Bandaraya Ipoh, permohonan permit penjaja sementara, permohonan lesen papan iklan dan lain-lain perkhidmatan.

Pengguna hanya perlu mendaftar akaun dengan menggunakan kad pengenalan untuk mendapatkan kemudahan bayaran dan pelbagai perkhidmatan tanpa perlu hadir ke mana-mana kaunter Majlis Bandaraya Ipoh.

Bagi pengguna yang telah mendaftar dalam akaun Single Sign On (SSO) MBI sebelum ini, anda boleh menggunakan id dan kata laluan sedia ada untuk diakses.

D-MBI@Ipoh merupakan Gerbang Digital MBI untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada wargakota Ipoh khususnya di hujung jari pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

#DigitalMBI #DMBIIPOH