TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta kejayaaan pada tahun ini apabila diumumkan berada pada kedudukan 101 dunia dalam bidang ekonomi baharu (emerging economies) dalam senarai The World University Ranking 2022.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md Taff berkata, kejayaan tersebut adalah pengiktirafan kepada UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan yang berusia 100 tahun selain menyerlahkan pencapaian universiti berkenaan.

“UPSI menggembleng tenaga beberapa tahun kebelakangan dan kejayaan ketiga bagi tahun ini sangat manis kerana ia merupakan hasil pengorbanan, usaha dan kerjasama seluruh warga kampus.

“Dengan pengiktirafan berkenaan, diharapkan UPSI akan terus cemerlang menyumbang dalam bidang pendidikan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini UPSI disenaraikan antara universiti yang menduduki 801-1000 pada senarai Times Higher Education (THE), World University Rankings 2022 iaitu antara lapan yang teratas universiti di Malaysia.

Ia disusuli dengan kejayaan apabil a apabila diumumkan berada pada kedudukan 176-200 dunia dalam subjek pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr. Marzita Puteh menganggap kejayaan UPSI menyerlahkan keterlihatan pencapaian dan peranan yang dimainkannya untuk mendapat penarafan.

Katanya, penarafan berkenaan berdasarkan lima kriteria utama iaitu pengajaran, penyelidikan, rujukan, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri.

“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada warga UPSI yang bakal menyambut dan merayakan sambutan 100 tahun sebelum majlis kemuncak pada 29 November tahun hadapan,” ujarnya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga UPSI yang bekerja keras bersama-sama berusaha menggungguli satu-satunya universiti pendidikan tanah air di persada antarabangsa.

“Mengambil inspirasi semangat menyambut ulang tahun ke-100 UPSI yang mengambil kira zaman Sultan Idris Training College (SITC), semoga lebih banyak lagi kejayaan dicapai UPSI pada tahun ini serta tahun depan,” katanya.

habis