TAPAH - Sebanyak 20 buah rumah penduduk di Jalan Besar, Kampung Poh Tambahan di Bidor dekat sini terjejas ekoran banjir kilat berpunca daripada pembentung pecah dari lombong berdekatan.

Kejadian yang berlaku pagi tadi menyebabkan air melimpah masuk ke kawasan kampung.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.01 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor telah dihantar ke kawasan tersebut.

"Air lombong yang melimpah menyebabkan 20 kediaman penduduk dinaiki air antara satu hingga dua kaki.

"Komander operasi mengarahkan satu keluarga dipindahkan manakala kira-kira 70 keluarga berpindah sementara ke surau kampung tersebut," ujar jurucakap tersebut.

Bagaimanapun, kesemua penduduk telah pun kembali ke kediaman masing-masing apabila air banjir surut.

Operasi pemantauan diketuai PBK II Ahmad Tarmizi itu tamat pada pukul 3.50 petang.

Sementara itu, seramai 19 penduduk dua buah kampung di daerah Larut Matang dan Selama masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di Sungai Temelok, Bukit Gantang Khamis lalu

Dua PPS yang dibuka masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Temelok dan SK Matang.

Kejadian banjir di kampung itu berlaku kerana selekoh ban tebing Sungai Temelok yang rebak menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan penempatan mereka.