IPOH – Operasi pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Ulu Kinta di sini ditamatkan secara rasmi dengan mencatat seramai 19,444 orang penerima vaksin.

PPV Klinik Briged Utara PGA ditutup secara rasmi pada Jumaat lalu setelah beroperasi selama tiga bulan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, pengoperasian PPV berkenaan telah memberi pendedahan pada petugas klinik yang juga anggota PGA termasuk melaksanakan program outreach kepada penduduk setempat.

“Program outreach yang kita jalankan pula melibatkan empat perkampungan Orang Asli dalam Dewan Undangan Negeri Ulu Kinta serta masjid dalam kariah Ulu Kinta.

“Ini adalah hasil kerjasama warga PPV serta kakitangan melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Tanjung Rambutan dan KK Chemor,” ujarnya.

Selain memberi vaksinasi kepada warga briged berkenaan dan warga polis di bandar ini, PPV tersebut turut melengkapkan dos suntikan pada lain-lain petugas barisan hadapan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Turut menerima suntikan vaksin Covid-19 di sini ialah lebih 200 penghantar makanan Food Panda dan Grab Food yang juga penduduk Ulu Kinta menerusi kerjasama MBI dan PPV Klinik Briged Utara PGA.