Pengurusan kewangan MBI di tahap terbaik
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 967
IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud memaklumkan pengurusan kewangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berada di tahap terbaik dalam membangunkan bandar raya Ipoh.
Katanya, kesemua perbelanjaan masih berdasarkan buget dan kawalan perancangan yang ditetapkan menerusi hasil dan perbelanjaan dari Januari hingga pertengahan Oktober, 2021.
"Hasil yang diperolehi setakat 20 Oktober 2021 adalah sebanyak RM196.7 juta atau 89% berbanding anggaran hasil bagi tahun 2021 iaitu RM220 juta.
"Manakala kutipan yang diperoleh adalah sebanyak RM161.6 juta iaitu 73% dari anggaran hasil yang ditetapkan tersebut. Kutipan ini adalah termasuk kutipan semasa, tunggakan serta terimaan terdahulu setakat 20 Oktober 2021," katanya dalam ucapan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Oktober, 2021 semalam.
Perbelanjaan keseluruhan Majlis sehingga pertengahan Oktober 2021 adalah sebanyak RM155.05 juta atau 67% dari bajet yang telah dibataskan dengan bilangan transaksi pembayaran sebanyak 6,309 baucer.
Sementara itu Rumaizi turut menyentuh kedudukan rizab Simpanan Tetap Majlis mencatatkan penurunan kepada RM183.15 juta pada akhir September 2021, berbanding RM198.20 juta pada tempoh yang sama.
Penurunan sebanyak RM15.05 juta atau bersamaan 8% adalah berikutan penurunan hasil-hasil utama Majlis, aktiviti pembangunan selain pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan sepanjang tempoh kawalan pergerakan dikuatkuasakan.
Pembayaran cukai taksiran MBI
Majlis Bandaraya Ipoh telah menyediakan dasar pembayaran cukai taksiran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan. Permohonan pembayaran ansuran boleh dibuat melalui panggilan telefon di talian 05-2410640 atau secara emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..
"Bagi pemilik-pemilik pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran termasuklah yang gagal mematuhi perjanjian bayaran ansuran yang telah dipersetujui, mereka dikehendaki menjelaskan tunggakan tersebut dengan kadar segera.
"Pemilik pegangan diharap dapat memberikan kerjasama untuk mengemaskini alamat e-mel dan nombor telefon terkini melalui pautan http://emelcukai.mbi.gov.my
"Saya berharap agar wargakota Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama," ujarnya - Peraktastic.