IPOH - Malang menimpa seorang penunggang motosikal apabila maut setelah terperosok ke bawah bas setelah terlibat dalam satu kemalangan berdekatan Stesen Petronas Kampung Kepayang, di sini pagi Selasa.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa terlanggar seekor anjing menyebabkan dia terbabas sebelum dirempuh bas yang gagal membrek.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi.

Kata jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas awam dan motosikal.

"Terdapat seorang mangsa tersepit di bawah tayar bas pada bahagian kiri dan disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas kesihatan," ujar jurucakap tersebut.

Mangsa telah berjaya dikeluarkan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd Norman kru tamat sepenuhnya pada pukul 7.49 pagi.