IPOH - Tidak salah untuk merancang bandaraya Ipoh mempunyai sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) kerana ia merupakan cadangan masa hadapan sesuai dengan pembangunan yang dilaksanakan.

Malah, Ipoh bukanlah pekan kecil sebaliknya merupakan bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas George Town di Pulau Pinang.

Justeru, bandaraya Ipoh tidak boleh ketinggalan dengan bandaraya lain di Malaysia yang turut merangka cadangan sama bagi memajukan infrastruktur masing-masing.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, perkhidmatan LRT di Ipoh merupakan pelan jangka panjang yang digariskan sejajar dengan persediaan pembangunan pada masa hadapan.

Menurut beliau, walaupun tidak dilaksanakan dalam masa terdekat tetapi perancangan ke arah itu perlu dilakukan dari sekarang.

"Kita tidak boleh terlalu ketinggalan, jadi kita perlu merancang keperluan masa hadapan.

"Projek LRT ini bagaimana pun hanya dibangunkan selepas tahun 2035 iaitu apabila kerja-kerja infrastruktur siap dibina," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan delegasi Kelab Wartawan Terengganu di Lost World of Tambun di sini semalam.

Perak berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di bandar raya ini sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dan menambah baik kemudahan awam pada masa hadapan.

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen.

Sebanyak 28 stesen LRT dicadang bakal dibangunkan di Bandar Raya Ipoh dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer (km).

Perkara itu dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau menjelaskan mengenainya semasa Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan 2035 Bandaraya Ipoh serta melancarkan Pelan Tindakan dan Penjenamaan Wilayah Pelancongan Greater Ipoh baru-baru ini.