IPOH – Tabung Haji tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak yang cuba memperdayakan bakal jemaah haji berkaitan tawaran mahupun pakej haji.

Amaran itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bahawa  laporan polis akan dibuat sekiranya pihak tidak bertanggungjawab berkenaan dikesan.

Katanya, orang ramai khususnya pendeposit Tabung Haji diingatkan untuk tidak mempercayai sebarang mesej atau panggilan berkaitan tawaran palsu itu, sebaliknya mendapatkan sebarang maklumat melalui saluran rasmi Tabung Haji mahupun Kementerian.

“Sebab itu saya pesan kalau ada yang hantar benda-benda seperti ini, kalau dapat kita menjejaki adalah lebih baik. Sekiranya nombor telefon pihak berkenaan adalah betul, boleh kita laporkan terus kepada pihak berkuasa untuk menangkap mereka ini.

“Jadi perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku, ditambah pula apabila isu ini berkaitan dengan hal-hal ibadah suci yang mana ada pihak tidak bertanggungjawab tetap mahu ambil kesempatan.

“Justeri diharapkan para pendeposit atau bakal jemaah yang akan pergi menunaikan ibadah haji itu nanti jangan terpedaya dengan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 180 peniaga kecil yang terkesan akibat situasi COVID-19, pada Program Tabung Haji (TH) Prihatin di Menara TH dekat sini,  pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Tabung Haji ada menerima laporan daripada pendeposit yang mereka menerima tawaran dana haji melalui panggilan telefon bagi membolehkan mereka menunaikan haji dengan lebih cepat.

Bagaimanapun Tabung Haji menafikan perkara tersebut dan berkata tidak pernah melantik mana-mana pihak, organisasi atau orang perseorangan sebagai perantara, orang tengah atau ejen dalam hal berkaitan tawaran haji mahu pun pakej haji.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang membimbangkan.

“Kalau ada pihak yang beritahu perlu masukkan sejumlah wang dan beri nama untuk mempercepatkan giliran menunaikan ibadah haji, itu adalah palsu.

“Ini kerana setiap urusan oleh Tabung Haji akan disusuli dengan dokumen rasmi dan bukan sekadar khidmat pesanan ringkas (SMS) ataupun mesej daripada aplikasi Whatsapps,” jelas beliau.

Orang ramai boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut.