BAGAN DATUK – Bantuan anggota dan bot diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Selangor bagi gerakan mencari warga emas yang dikhuatiri lemas di Jalan Tepi Sungai, Hutang Melintang dekat sini .

Identiti mangsa yang dikenali sebagai Ramasamy Muthusamy, 63 tahun dikatakan hilang sejak Jumaat lalu.

Pencarian disambung bermula 8 pagi tadi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutang Melintang, BBP Teluk Intan Kampar serta bantuan BBP Sabak Bernam dan BBP Sungai Besar, Selangor.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri (JBPM) Perak memberitahu, operasi diperluas sehingga ke muara laut Bagan Datuk.

“Kerja pencarian melibatkan enam buah bot meliputi empat milik bomba manakala sebuah masing-masing daripada Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia.

“Operasi turut dibantu pegawai dan anggota dari JBPM negeri Selangor diketuai Ketua BBP Sabak Bernam berikutan kawasan pencarian diperluaskan,” ujar jurucakap tersebut.

Keseluruhannya operasi melibatkan 29 anggota pelbagai agensi termasuk polis yang dilakukan secara penggiliran.

Kata jurucakap itu lagi, usaha pencarian diperluaskan jarak meliputi Sungai Hutang Melintang dan Sungai Sabak Bernam sehingga ke muara laut Bagan Datuk mengikut pembahagian zon masing-masing dengan bantuan dua bot dari JBPM negeri Selangor.

“Teknik mencari di permukaan diperluaskan ke kawasan pesisir tebing sedia ada dengan pelbagai tumbuhan dan pokok terutama hutan paya bakau di kedua-dua belah sepanjang sungai,” katanya.

Gerakan pencarian ini diketuai Ketua BBP Batu Gajah, Penolong Penguasa Bomba Zulkafle Abdullah.