IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggandakan kualiti perkhidmatan perbandarannya apabila membeli 57 buah kenderaan pelbagai jenis dan jentera melibatkan perbelanjaan sebanyak RM12 juta.

Pertambahan kenderaan dan jentera itu perlu berikutan pembangunan pesat di bandaraya Ipoh dengan kewujudan kawasan perumahan baharu dan pusat-pusat perniagaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembelian itu menerusi pinjaman sewa beli dengan bank-bank tempatan bagi membiayai perolehan kenderaan operasi tersebut.

Menurut beliau, MBI telah berusaha untuk menambahbaik kapasiti sumber dari segi modal insan serta memperkemaskan jentera-jentera perkhidmatan dengan meningkatkan perbelanjaan modal dari tahun ke tahun.

“Kepesatan pembangunan telah menyumbang kepada kepadatan penduduk dan keperluan untuk MBI mempertingkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran kepada warga kota Ipoh.

“Daripada jumlah kenderan dan jentera ini, sebanyak 39 unit kenderaan telah diterima manakala baki masih dalam proses perolehan yang dijangka akan selewat-lewatnya pertengahan tahun 2022 nanti.

“Pembelian tersebut adalah untuk memastikan perkhidmatan perbandaran dapat dilaksanakan pada tahap yang optimum dan menjadikan Ipoh bersih, hijau dan maju,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan perolehan kenderaan operasi MBI di sini hari ini.

Pembelian melibatkan kenderaan operasi iaitu lori sampah (kompaktor), lori Arm Roro, backhoe, skylift, forklift, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, lori water jetter pressure, lori kru cab, bot penumpang dan lori tangka.

Daripada jumlah lori tersebut sebanyak 14 buah lori dan 2 unit backhoe digunakan untuk operasi sampah kebun dan pukal untuk 20 zon yang telah dijadualkan dan enam lori bagi pembersihan sampah haram dan sampah dikawasan pasar-pasar sekitar bandaraya Ipoh.

Tiga buah pula untuk tujuan pembersihan di kawasan kompleks sukan dan rumah pangsa Buntong, Wallercourt dan Kinta Height.

Jelas Rumaizi, pihak MBI juga telah membuat beberapa penambahan jentera operasi sedia ada seperti skylift untuk menampung operasi potong pokok serta lori water jetter pressure bagi selenggara sistem kumbahan disamping melakukan pembersihan longkang-longkang yang tersumbat bagi mengelak berlakunya banjir.

Dalam pada itu kata Rumaizi, MBI juga telah mengambil 105 petugas baharu bagi operasi kutipan sampah seramai 60 orang, landskap (25) dan QRT (20).

“Proses pertambahan anggota seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Semoga usaha-usaha MBI ini akan menjadikan bandaraya ini terus ceria, bersih dan indah serta mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih di Malaysia pada tahun 2023,” ujarnya.

Dari aspek pelancongan pula, MBI turut membuat penambahan bot penumpang di Taman Rekreasi Gunung Lang untuk menampung bilangan pengunjung yang semakin meningkat .

Dengan penambahan sebuah bot, kini kesemuanya berjumlah tiga buah bagi tujuan operasi membawa pengunjung mengelilingi tasik di taman tersebut agar lebih lancar dan sistematik.