IPOH- Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) bakal memantapkan lagi perlaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi urusan umrah di bawah kelolaannya.

Naib Presiden PUHAZ, Mohamad Jamaluddin berkata pihaknya baru sahaja selesai melaksanakan pemeriksaan secara terperinci berhubung SOP yang telah ditetapkan di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Hasil dari kerja-kerja pemeriksaan selama 12 hari di Jeddah, Madinah dan Mekah, kita menyaksikan sendiri keberkesanan SOP di Tanah Suci yang melibatkan dua aplikasi iaitu Tawakalna dan Eatmarna bagi melancarkan urusan kemasukan hotel dan membuat tempahan memasuki Majidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Penggunaan dua aplikasi ini melibatkan jemaah yang memasuki Tanah Suci menggunakan visa pelancongan (visa tourist) oleh Kerajaan Saudi. Kedua-dua aplikasi ini wajid dimuat naik ke telefon pintar setiap jemaah dan akan dikelolakan sendiri seperti penggunaan MySejahtera namun akan dipantau oleh agensi kami.

“Sekiranya jemaah menggunakan visa umrah yang dikeluarkan oleh pihak Muassasah Saudi, setiap jemaah akan dikenakan gelang pengenalan dan mereka tidak akan menggunakan dua aplikasi tersebut. Mereka akan dipantau oleh pihak Muassasah dan agen bertanggunjawab.

Walau bagaimanapun, PUHAZ akan mencuba kedua-dua visa berkenaan melalui dua rombongan jemaah pada Disember 2021 dengan menggunakan visa pelancongan dan pada Januari 2022 menggunakan visa umrah.

“Kedua-dua visa ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Namun selepas dua rombongan yang akan berlepas ini, kami akan tentukan visa mana yang akan diguna pakai berpandukan keberkesanan setiap urusan jemaah,” katanya.