LUMUT - Dua kenderaan terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan salah seorang daripada pemandunya maut akibat kecederaan parah awal pagi tadi di Taman Hijau, Sitiawan dekat sini.

Identiti mangsa disahkan sebagai Nga Hu Chen, 18, yang memandu kereta Perodua Myvi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.12 pagi.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikerah ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dengan sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Proton X70.

"Sebaik bomba tiba, pemandu Proton X60 yang cedera telah dikeluarkan oleh orang ramai manakala mangsa pula tersepit pada kerusi pemandu,"
kata jurucakap itu.

Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan pemeriksaan pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Khairul Azizi Kamaruddin itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.55 pagi.