IPOH - Tiga pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak telah melakukan pemeriksaan harga melibatkan peladang, pembekal serta pengimport sayur-sayuran

Tiga pasukan itu masing-masing ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Cameron Highlands.

KPDNHEP negeri Perak dalam hantaran menerusi laman media sosial rasminya memberitahu, pemeriksaan itu bertujuan untuk melengkapkan siasatan rantaian pengedaran sayur-sayuran.

Menurut kenyataan tersebut, rantaian bekalan ini bagi pembekal sayuran yang dijual sekitar pasaraya dan pasar awam di negeri Perak.

"Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Dottie Azlina Ismail telah mengetuai sendiri pasukan pemeriksaan dan melakukan lawatan dan pemantauan pada pengeluar dan pembekal sayuran di Lojing, Gua Musang dan di Cameron Highlands, Pahang semalam.

"Beliau telah melakukan sesi libaturus bersama pengeluar bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu kenaikan harga sayuran di pasaran," ujar kenyataan itu.

Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 telah diserahkan kepada pemilik premis yang dilawati.

Ia bagimendapatkan maklumat berkaitan harga jualan dan kos belian bagi sayuran yang dibekalkan.