JKR laksanakan baikpulih tanah runtuh secara terperinci
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 838
BATU GAJAH - Kerja baikpulih cerun sepanjang 100 meter di laluan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley akan dilakukan secara terperinci sebelum dibuka kepada umum.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejadian tanah runtuh yang melibatkan dua nyawa terkorban di kawasan terbabit perlu mengambil masa untuk proses baikpulih dan tidak terburu-buru.
"Kerja-kerja baikpulih cerun yang terjejas itu akan dilaksanakan oleh unit cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ianya di bawah tanggungjawab dan pemantauan JKR.
"Cerun runtuh itu masih dalam proses pembaikan dan mendapat nasihat teknikal dari unit cerun Ibu Pejabat JKR.
"Selepas kesemua pihak berpuas hati dan sekiranya kawasan itu selamat untuk digunakan barulah akan diumumkan pembukaan semula laluan,.
"Kerajaan negeri sebenarnya tidak boleh masuk campur secara serius kerana ianya melibatkan teknikal di bawah tanggungjawab jabatan tersebut," katanya sewaktu sidang media selepas lawatan kerja di Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) dan Maze Garden hari ini.
Saarani melahirkan keyakinan pihak JKR akan melaksanakan kerja baikpulih bagi mengelakkan kejadian runtuhan berulang semula dan akan memakan kos yang lebih berganda.
"Kita kena buat kajian samada potensi berlaku pergerakan tanah di kawasan itu atau di kawasan lain, setakat ini kita belum mendapat maklumat berapa lama laluan akan ditutup.
"Buat masa ini, orang ramai masih boleh menggunakan laluan ke Cameron Highland melalui jalan Tapah untuk sebarang urusan," katanya. - Sumber berita ehsan Suara Perak.