Serang pemuda, Harimau kumbang ditembak mati
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 840
SUNGAI SIPUT - Seekor harimau kumbang yang dipercayai telah menyerang seorang pemuda Orang Asli ditembak mati oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak dalam satu operasi pagi tadi.
Harimau kumbang itu sedang dijejaki pihak Perhilitan susulan kejadian yang menyebabkan pemuda itu cedera parah.
Perhilitan negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, terdahulu pihaknya telah menerima aduan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Balai Polis Lintang tentang kejadian serangan itu pukul 8.30 malam semalam.
Menurut kenyataan itu, dalam kejadian tersebut seorang remaja Orang Asli cedera parah diserang seekor harimau kumbang di kawasan Kampung Orang Asli Kelatap, Pos Perwor, Sungai Siput (U).
Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.
"Susulan itu empat anggota Perhilitan Daerah Sungai Siput (U) telah menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi aduan pada pukul 9.30 pagi Khamis.
"Mereka telah berrtemu dengan Tok Batin kampung tersebut, Yusof Alang di mana Tok Batin memaklumkan kejadian berlaku semasa mangsa sedang mencari kayu untuk membuat tandas rumah di kawasan kebun getah di belakang rumahnya.
"Mangsa telah terserempak dengan hidupan liar berkenaan dan seterusnya menyerang mangsa," ujar kenyataan itu.
Pergelutan telah berlaku dan harimau kumbang berkenaan telah menerkam bahagian kepala dan badan mangsa, namun mangsa sempat menetak haiwan buas itu menggunakan parang dalam cubaan mempertahankan diri.
Mangsa telah menjerit meminta tolong dan setibanya orang kampung, harimau kumbang berkenaan telah melarikan diri.
Kata kenyataan itu, semasa penjejakan pada pukul 12.20 tengahari, salah seorang anggota Perhilitan yang sedang mengikut jejak secara tiba-tiba diserang harimau berkenaan yang keluar dari kawasan kebun getah berhampiran.
"Dalam cubaan mempertahan diri, anggota tersebut telah melepaskan tiga das tembakan.
"Pemeriksaan pada bangkai hidupan liar berkenaan mendapati tujuh kesan tetakan pada peha kiri (satu) dan seutas jerat dawai yang tersangkut pada pergelangan kaki belakang sebelah kanan.
"Bangkai harimau kumbang berkenaan telah dibawa pulang ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput (U)," ujar kenyataan tersebut.