IPOH - Susulan kes kematian seorang juruteknik di taman tema terkemuka di sini, Lost World of Tambun (LWOT) merakamkan ucapan takziah.

"Kami ingin merakamkan sebanyak-banyak ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan keutamaan kami pada saat ini adalah memberi sokongan penuh kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Jelasnya, insiden terbabit masih lagi di dalam siasatan pihak berkuasa dan pihaknya bersedia memberi kerjasama untuk menyalurkan sebarang maklumat dan bantuan yang diperlukan.

Semalam dilaporkan seorang juruteknik maut akibat terkena renjatan elektrik di sini pada kira-kira jam 12.45 tengahari Ahad.

Rentetan itu daripada itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, mangsa ditemukan terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

“Kemalangan berlaku melibatkan seorang pekerja lelaki, warganegara tempatan yang berusia 25 tahun.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai seorang juruteknik di taman teman air itu.

“Semasa kejadian mangsa sedang menjalankan kerja menyelenggara lampu ‘sportlight’ berhampiran salah satu kawasan kolam mandi di taman tema air tersebut yang sering tidak berfungsi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 1.48 tengahari pada hari yang sama,” kata beliau.