IPOH - Jawapan penggulungan yang bernas dan faham dengan mendalam portfolio yang dipegang, membuatkan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dipuji oleh salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.

Pujian itu disuarakan oleh Adun Kepayang, Dr Ko Chung Sen apabila bangkit mencelah ketika sesi penggulungan Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Wakil rakyat DAP itu berkata Nolee Ashilin faham dengan subjek yang diutarakan dalam Dewan dan mampu menjawab soalan yang diajukan dengan baik.

"Terlebih dahulu saya nak ucapkan tahniah kepada YB Tualang Sekah (Nolee Ashilin) kerana jawapan dan penggulungan YB sangat bertaraf tinggi dan hebat.

"Tadi YB Keranji pun ada beritahu saya yang YB Tualang Sekah betul-betul tahu awak punya portfolio, 'you know your subject '," katanya.

Nolee Ashilin kemudiannya secara berseloroh berkata pujian itu menyebabkan dia lebih tertekan untuk menjawab soalan yang diutarakan selepas ini.

"Terima kasih kepada YB Kepayang, put a lot of pressure to me now to answer (soalan)," kata Nolee Ashilin.

Penggulungan kemudiannya diteruskan dengan Nolee Ashilin menjawab soalan daripada Adun Pasir Pinji dan Kepayang berhubung pelancongan makanan serta isu kemudahan tandas yang kurang bersih.

"Sekiranya ada idea lain daripada Pasir Pinji amat saya alu-alukan, menyentuh isu yang diutarakan Kepayang pula kita perlu ada kempen dan 'ubah mindset' pengunjung itu sendiri tentang isu kebersihan tandas.

"Kalau kita bermula dengan tandas itu bersih, ramai yang datang tidak akan mengotorkannya kerana mereka ada rasa malu berbuat demikian," katanya lagi.