IPOH - Pemilik pegangan yang mempunyai masalah untuk menjelaskan tunggakan cukai taksir disarankan datang berbincang dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mendapat kaedah bayaran yang sesuai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, beliau berharap pemilik pegangan tidak bertangguh untuk menjelaskan bil mereka.

Menurut beliau, bil cukai taksiran Penggal Pertama tahun 2022 telah dihantar kepada pemilik pemegang harta pada pertengahan November dan tarikh akhir bayaran adalah pada 28 Februari hadapan.

"Pihak MBI telah menyediakan kaedah pembayaran cukai taksiran secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan.

"Permohonan pembayaran ansuran juga boleh dilaksanakan secara atas talian dengan mengemukakan permohonan melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Pada Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Jelas Rumaizi, bagi pemilik-pemilik pegangan yang mempunyai tunggakan cukai taksiran termasuklah yang gagal mematuhi perjanjian bayaran ansuran sebelumnya, mereka dikehendaki menjelaskan tunggakan tersebut dengan kadar segera.

"Pemilik pegangan boleh memberi kerjasama untuk mengemaskinikan alamat e-mel dan nombor telefon terkini melalui pautan http://emelcukai.mbi.gov.my.

"Saya berharap agar warga kota Ipoh lebih serius dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai demi kepentingan dan kesejahteraan bersama," ujarnya.