IPOH - Individu yang tular menerusi satu video upacara ritual bersama tiga yang lain pada 5 Januari lalu, telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dalam satu kenyataannya memberitahu, keempat-empat suspek iaitu 2 lelaki dan 2 perempuan ditahan di sekitar Bandaraya Ipoh, pada 6 Januari.

"Kesemua mereka berumur di antara 60 ke 71 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 14 & 16 , Enakmen Jenayah Syariah 1992 atas kesalahan berhubung dengan maruah agama dan institusinya," ujarnya.

Beliau berkata, dua daripada mereka telah dibawah ke Mahkamah Syariah Ipoh untuk sebutan kes, hari ini.

Bagaimanapun kedua-duanya dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000.00 iaitu seorang penjamin manakala dua lagi dibebaskan dengan bon jaminan penguatkuasa.

Tambahnya, sebutan semula kes adalah pada 23 Februari 2022.

Sehubungan itu, JAIPk juga mengingatkan orang ramai terutamanya umat Islam agar mematuhi hukum syarak & fatwa yang diwartakan.

Baru-baru ini, tuduhan dibuat ke atas dua individu berkenaan susulan tular satu video ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan.

Mengikut seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu selain kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.