TAIPING - Seorang kanak-kanak tersepit tangan pada mesin pengukir tepung dalam kejadian di Markas Pas, Pintu Gerbang Sungai Petai dekat Bukit Gantang di sini.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dihantar ke tempat kejadian bagi memberikan bantuan kecemasan.

"Mangsa yang berumur 10 tahun dipercayai sedang bermain sebelum tangannya tersepit pada mesin penguli tepung tersebut.

"Anggota bomba kemudian bertindak menggunakan

peralatan khas untuk memotong besi dan penguli tepung bagi mengeluarkan tangan mangsa," ujar jurucakap tersebut.

Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan dan dibawa ke Hospital Taiping untuk diberikan rawatan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Sharif Aziz itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.58 pagi.