MANJUNG – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melelong seekor lembu betina yang sebelum ini ditangkap berkeliaran oleh penguat kuasa akibat kecuaian pemiliknya sehingga menimbulkan aduan orang ramai.

Ketua Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM, Mohamad Shahril Salihan berkata, seramai tujuh orang pembida hadir bagi membida lelongan lembu yang disita akibat kecuaian penternak yang tidak bertanggungjawab membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan awam.

Menurut beliau, tindakan ini dilaksanakan selaras dengan Undang-undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MPM) 2012 bagi menyelesaikan aduan yang diterima dan mengelakkan kacau ganggu keselamatan khususnya pengguna jalan raya.

“Haiwan tersebut ditangkap pada 4 Januari lalu di kawasan laluan utama Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar dekat sini.

“Kita menerima bidaan tertinggi iaitu RM3,100 setelah tawaran dilakukan sebanyak tiga kali dan ini merupakan lelongan kali pertama pada tahun ini,” katanya kepada Kosmo!

Di Taiping, sebanyak empat daripada 10 ekor lembu yang berkeliaran berjaya ditangkap oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Batu 14 1/2, Batu Kurau hasil maklumat orang awam pada Sabtu lalu.

Menurut kenyataan MPM, haiwan-haiwan tersebut menceroboh kawasan tanpa kawalan pemilik ternakan dan merosakkan tanaman kebun pisang penduduk dan kini diletakkan di tempat kurungan ternakan MPM.

“Kesalahan membiarkan ternakan berkeliaran tanpa kawalan boleh denda sehingga RM2,000, penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Peringatan kepada pemilik ternakan supaya mengambil tindakan sewajarnya dengan memastikan haiwan tidak berkeliaran, lebih merbahaya jika menjadi punca kemalangan,” ujar kenyataan tersebut.