IPOH - Setelah beberapa bulan muncul dalam banyak reviu laman portal automotif tanahair termasuk teaser dari negara jiran, model Civic Generasi ke-11 secara rasminya dilancarkan di Malaysia hari ini.

Majlis pelancaran telah diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur.

Disifatkan banyak pihak sebagai antara model kenderaan yang dinanti-nantikan pada tahun 2022, Civic terbaharu ini tampil dengan gaya dan rekabentuk menawan.

Jadi tidak menghairankan apabila Honda Malaysia
memaklumkan, sejak tempahan dibuka bulan lalu sebanyak 1,200 angka dicatat bagi bakal pemilik baharu kenderaan tersebut.

Pembeli yang telah menempah awal dijangka akan menerima kereta Honda Civic baru mereka bermula bulan depan.

Malah, berdasarkan permintaan pada model sebelumnya menyebabkan pihak Honda Malaysia yakin untuk menjual sehingga 900 unit Honda Civic baharu selepas dilancarkan.

Pihak Honda Malaysia juga meletakkan tempoh menunggu tempahan yang tidak lama iaitu antara sebulan hingga dua bulan bergantung kepada varian dan warna.

Melihat pada tanda harga, Honda Civic generasi ke-11 ini didatangkan pada tiga variasi iaitu E (RM125,635), V (RM138,043) dan RS (RM144,350).

Tanda harga ini menunjukkan peningkatan sehingga sebanyak RM16,000 bergantung kepada varian berbanding Honda Civic generasi terdahulu.

Ketiga-tiga varian yang ditawarkan menggunakan enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged yang dipertingkatkan dan menawarkan kuasa maksimum 182PS dan tork setinggi 240Nm.

Ia menawarkan lima pilihan warna termasuk warna baharu iaitu Meteoroid Grey Metallic dan Ignite Red Metallic.

Pilihan warna lain adalah Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl dan Platinum White Pearl.