KUALA KANGSAR – Sebuah premis di Kuala Kangsar Prima di sini yang dijadikan setor menyimpan pakaian sukan berjenama popular untuk djual secara dalam talian diserbu penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kuala Kangsar.

Operasi tersebut hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan secara dalam talian.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, berdasarkan siasatan modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan pakaian berjenama berkenaan di pasaran dengan harga yang lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

Menurut beliau, serbuan bersama wakil pemilik cap dagang telah mengenapasti pakaian sukan berjenama Adidas, Levi’s dan Nike di simpan di setor berkenaan.

“Kesemua pakaian sukan tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 60,500.

“Berdasarkan siasatan pakaian berkenaan diterima daripada pembekal di Lembah Kelang yang mengimpot pakaian berkenaan dari luar negara,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang boleh didenda RM 10,000.00 bagi setiap barang, penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000.00 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.

KPDNHEP Cawangan Kuala Kangsar memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana individu dan syarikat supaya menghormati harta intelek atau cap dagang orang lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran, penyimpanan dan penjualan barang tiruan boleh melaporkan menerusi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/8245 atau WhatsApp 019-279 4317.