IPOH - Sumbangan buku-buku latihan bagi kegunaan murid sekolah rendah anak-anak warga Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Ahmad Faizal diwakili Pegawai Khas Pejabat Parlimen Tambun, Omar Tarmizi Ahmad Sharibi.

Hadir menerima sumbangan ini ialah Pemangku Komander Briged Utara, ACP Mohd. Noh Khamis.

Seterusnya, Omar Tarmizi  bersama Mohd. Noh  dan tetamu khas mendekati anak-anak Kem PGA di meja latihan untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang hadir menerima buka latihan ini.

Mohd. Noh turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan Malaysia dalam soal pembelajaran anak-anak warga Briged Utara.

Sementara itu, Pejabat Parlimen Tambun dalam kenyataan memberitahu, Datuk Seri Ahmad Faizal adalah seorang pemimpin yang  sentiasa prihatin dan berjiwa kebajikan.

"Sejak beliau memegang jawatan Ahli Parlimen Tambun beliau berhajat supaya semua anak-anak Kem PGA menjadi anak-anak cemerlang, bijak dan menjadi pemimpin masa hadapan negara.

"Untuk mencapai hasrat ini beliau berbesar hati menyediakan buku-buka latihan bagi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

"Buku-buku diberi secara percuma kepada semua anak-anak Kem PGA supaya anak-anak dapat membuat latihan pelajaran dalam buku-buku latihan ini dirumah dengan pemantauan ibu bapa," ujar kenyataan itu.