IPOH - Cabaran guru-guru kerana terpaksa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah ketika pandemik COVID19 melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu bukanlah suatu perkara mudah.

Adakalanya terdapat sebilangnan daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bersara awal, susulan isu stres dan tidak mampu menghadapi bebanan kerja.

Prihatin dengan tekanan itu, Kerajaan Negeri Perak giat melaksanakan pelbagai program dan webinar khusus untuk memberi motivasi dan mengurangkan stres dalam kalangan pendidik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud menyifatkan peranan dan tugas guru kini semakin mencabar.

"Ada juga cadangan bagaimana untuk kita memberikan motivasi kepada guru-guru yang sedang alami stres dalam proses PDP.

"Sebelum ini kita berdepan dengan pelajar secara fizikal, tetapi diubah kepada PdPR, dan bila pelajar dan guru sudah boleh menyesuaikan diri dengan cara itu tiba-tiba sekarang patah balik kepada asal (fizikal)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dengar & Dialog Bersama Warga Pendidik di Dewan Kuliah Sri Bintang, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Ipoh pada Isnin.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad .

Ahmad Saidi menjelaskan, antara program yang dijalankan sebelum ini untuk menangani isu itu ialah sesi kaunseling dan kelas motivasi secara maya serta fizikal.

"Sepanjang sesi libat urus itu, kita minta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri menyediakan senarai nama guru yang mereka fikir perlu untuk diberi motivasi.

"Maksudnya mungkin ada guru yang rasa sedikit 'down' atau penat. Perkara ini kita sudah perhalusi dan cuba bantu dengan beberapa siri webinar yang dilaksanakan.

"Diharapkan inisiatif ini dapat membantu, kerana ada guru yang mungkin lima atau enam tahun nak pencen tetapi mengambil jalan mudah untuk pencen lebih awal, kita rasa rugi kerana hilang kepakaran guru-guru ini," katanya lagi.

Tambahnya, sesi dialog bersama warga pendidik hari ini penting bagi mereka meluahkan masalah dan isu yang yang membebani mereka untuk dicari jalan penyelesaian bersama.

Terdahulu, beberapa orang guru tampil memberi cadangan serta idea yang berkaitan dengan sistem pendidikan, termasuk isu stres dan bebanan kerja yang dihadapi mereka.