IPOH  - Usaha menyelamatkan alam sekitar bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kebersihan tetapi dapat memberikan satu sumber pendapatan baru kepada masyarakat amnya.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin, usaha mengitar semula bahan buangan adalah sejajar dengan hasrat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi mencapai misi bandar terbersih pada tahun 2023.

“Selain itu ia dapat membantu MBI menuju ke arah Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.

“ Bengkel hari ini mampu membantu Wanita untuk memiliki satu ilmu kemahiran menganyam beg plastik terbuang menjadi beg perhiasan atau ‘Upcycling’ dan menjual produk anyaman ini untuk menjana pendapatan sampingan sebagai seorang Usahawan Sosial,”

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Usahawan Sosial “Trash2cash’ Membuat Beg Perhiasan Dari Plastik Buangan, di Dewan Flat Ashby Road di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, seorang Usahawan Sosial atau Social Entrepreneur boleh menjana pendapatan dari perniagaan sambil menjaga kelestarian alam sekitar dengan membantu mengurangkan sampah plastik ke tapak pelupusan.

Jelasnya, Bandaraya Ipoh telah diisytiharkan sebagai Bandar Raya Perniagaan Sosial Ke-5 di dunia pada tahun 2016.

“Banyak NGO dan  oang perseorangan turut menceburkan diri dalam bidang ini bagi menjana pendapatan dengan memikirkan cara penyelesaian ke atas masalah sosial seperti Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan, Isu Penuaan Warga Emas serta Penyediaan Makanan,” katanya.

Katanya lagi, plastik menyumbang 15% daripada sampah yang terkumpul di tapak pelupusan dan mengambil lebih dari 500 tahun untuk dilupuskan.

Proses pelupusan yang panjang menyebabkan sampah bertimbun di tapak pelupusan.

Plastik juga bila terbakar akan membebaskan gas methane yang menyumbang dua kali ganda suhu bumi berbanding dengan karban dioksida dan menyebabkan perubahan cuaca yang ketara, katanya.

“Sampah plastik yang dicampak ke dalam longkang dan sungai biasanya menjadi punca berlakunya banjir kilat dan menyusahkan orang ramai,” ujarnya.

Justeru katanya, selain dapat menimba satu ilmu kemahiran yang amat berguna untuk mengisi ruang waktu yang lapang dengan menjana pendapatan tambahan melalui pendekatan yang kreatif.

Beliau berkata, MBI akan sentiasa membantu apa-apa usaha ke arah melestarikan alam sekitar kita demi generasi akan datang sejajar dengan Visi MBI ke arah Ipoh sebagai sebuah Bandar Raya Rendah Karban, Pintar, Bersih, Hijau, Maju, Berdaya Huni dan Sejahtera.

Program berkenaan adalah atas usaha Ahli Majlis, Dr. Richard Ng bersama Ipoh City Watch, Lions Club of Perak Silver State dan Rukun Tetangga Pangsapuri Ashby.