IPOH- Semenjak negara beralih kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam usaha menangani pandemik COVID-19,  peluang  menyantuni masyarakat secara bersemuka tidak dilepaskan oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI),  Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali.

Katanya, inilah masa yang tepat untuk menyelami kehidupan warga bandaraya yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkannya untuk turun padang bagi memastikan kebajikan penduduk di bawah kawasannya terbela.

“Sewaktu PKP yang lalu, banyak keluhan dan permasalahan penduduk tidak dapat disuarakan secara langsung. Oleh itu banyak maklumat-maklumat tidak dapat dikongsi bersama dan di perbincangkan.

“Hari saya mendengar pelbagai keluhan dari penduduk dibawah kawasan saya. Mereka kebanyakannya menyuarakan tentang masalah kemudahan infastruktur dan mambuat aduan.

 “Sebenarnya kebanyakkan mereka kurang faham kepada siapa yang harus dirujuk bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Contohnya masalah lampu jalan,  masalah lampu jalan ini terbahagi kepada tiga agensi yang bertanggung jawab iaitu, Jabatan Kerja Raya, MBI dan Tenaga Nasional Berhad.

“Begitu juga masalah jalan raya, MBI sering dipersalahkan jika terdapat kerosakan atau berlaku sebarang masalah. Sebenarnya masalah jalan raya adalah dibawah bidang kuasa JKR. Namun mereka masih boleh menyuarakan kepada Ahli Majlis MBI dan kami akan cuba membantu memanjangkan  masalah itu kepada JKR untuk diselesaikan,” katanya kepada Peraktastic selepas Majlis MBI Prihatin di Kampung Lim Tan di sini hari ini.

Puteri Holijah juga merayu kepada semua komuniti  agar menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu budaya seharian.

“Isu pembuangan sampah haram semakin serius di bandaraya ini. Sekiranya tidak dihentikan, ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada kelestarian alam semulajadi dan komuniti.

“Kesan dari pembuangan sampah haram bukan sahaja mempengaruhi kesihatan malah akan mengakibatkan penyumbatan saliran longkang seterusnya menyumbang kepada kejadian banjir kilat.

“Selagi tidak berubah sikap, masalah ini tidak akan selesai. Gunalah sebaik mungkin tong-tong sampah yang telah disediakan oleh MBI bagi memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pungutan sampah. Marilah bersama menyokong dan merialisasikan maklamat Ipoh sebagai bandaraya terbersih menjelang 2030,” ujarnya.