Ipoh- Sorotan trajedi kemalangan nyawa yang membabitkan haiwan ternakan terbiar berkeliaran di jalan raya baru-baru ini, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pada Isnin hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan memandang serius masalah haiwan ternakan berkeliaran tanpa mengetahui siapa pemiliknya serta menyukarkan sebarang tindakan lanjut.

Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada Isnin hadapan. Menyuarat itu untuk menentukan siapa yang akan mempengerusikan jawatankuasa sama ada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Razman Zakaria atau saya sendiri.

Isu ternakan terbiar seolah-olah tiada berkesudahan sejak sekian lama walaupun pelbagai cara dan pendekatan telah diambil oleh kerajaan negeri. Kita akan mengambil kata sepakat apakah pendekatan yang boleh diguna pakai termasuk dari segi penguatkuasaan dan perbincangan bersama pemilik haiwan ternakan bersama agensi-agensi berkenaan.

Jawatakuasa itu akan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah. Melalui Undang-Undang Kecil ini kita boleh menangkap dan mengenakan kompaun. Sememangnya tindakan boleh diambil, tetapi malangnya apabila kejadian berlaku kita tidak mengetahui siapakah pemilik haiwan sebenarnya”, katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke ke Rokiah Kopitiam di Concubine Lane di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kanan Perkhidmatan, Rohayah Abdul Kadir dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Tambahnya lagi, sebagai contoh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (Majlis Bandaraya Ipoh) 2014.

Kita berharap menerusi jawatankuasa baru ini, isu haiwan ternakan berkeliaran ini dapat ditangani sebaik mungkin dan dapat menghindarkan kemalangan yang meragut nyawa berulang lagi,” ujarnya.