IPOH - Bukanlah pencinta filem Bollywood sejati jika tidak mengenali siapa itu Lata Mangeshkar.

Alunan merdu suaranya menghantui dalam filem Bobby, Anand dan Pakezah pada dekad 70an iaitu dikemuncak kegilaan filem Hindustan tidak terkecuali di Perak.

Ketika itu pada zaman atok, opah, pak chor dan mak chor kita.

Dia bukan lagi seorang biduanita, malah diangkat sebagai Permaisuri Seni Suara India.

Pemilik nama sebenar, Hema Mangeshkar menjadi vokalis terkemuka industri filem India dan menyanyi dalam lebih daripada 1,000 filem.

Lagu-lagunya dimainkan pada sambutan Hari Republik rasmi negara setiap tahun.

Lagu malar segar filem Dil To Pagal Hai turut dinyanyikan Lata Mangeshkar yang jika tidak diketahui ramai beranggapan itu adalah suara penyanyi muda.

Begitu juga bagi filem Mohabbatein dan Kabhi Khushi Kabhi Gham.

Bintang Bollywood itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi sejak 11 Januari lalu akibat jangkitan Covid-19.

Mangeshkar dilahirkan pada 28 September 1929 di bandar Indore dan memulakan kerjaya sebagai penyanyi ketika berusia 13 tahun.

Lima tahun selepas itu, Mangeshkar melakar nama menerusi nyanyian dalam filem ‘Aapki Sewa Mein’.

Sepanjang kariernya, wanita itu sudah menyanyi menerusi lebih 1,000 buah filem.

Berita kematian mendiang juga telah dilaporkan oleh hampir kebanyakan media utama dunia dek populariti yang memiliki ratusan juta peminat.

Perdana Menteri India, Narendra Modi turut menzahirkan kesedihan atas pemergian penyanyi berbakat itu.

“Saya kehilangan kata-kata kerana amat sedih dengan pemergian ini.

“Lata Didi (nama panggilan Mangeshkar) yang baik hati dan penyayang sudah tinggalkan kita dan kehilangannya tidak boleh diganti,” kata Modi dalam Twitter.

Lata telah merakamkan lebih 36 dialek India dalam lagu-lagu serta beberapa bahasa asing juga penerima tiga Anugerah Filem Kebangsaan India.