IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) muncul sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PTB) pertama berjaya menyiapkan sebuah bas yang direka khas menjadi surau bergerak untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat lima waktu.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin Md @ Daud berkata surau bergerak itu adalah hasil idea dan reka bentuk MBI bersama syarikat yang dilantik dengan mengambil kira tentang kemudahan asas bersolat serta penambah baik dengan ciri-ciri moden lagi selesa.

 MBI mengambil masa hampir tiga bulan untuk siap sepenuhnya. Ia dilengkapi dengan ruang solat, sistem air wuduk, sistem hawa dingin, generator, alat audio video yang lengkap dengan sistem waktu azan dan kanopi.

Konsep surau bergerak ini amat mudah dan mesra yang akan dikendalikan oleh seorang petugas. Surau ini boleh diletakkan pada mana-mana lokasi bagi kemudahan umat Islam memanfaatkannya untuk bersolat serta aktiviti dakwah yang bersesuaian. Ruang surau ini boleh  memuatkan seramai 15 orang, namum sekiranya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ia hanya boleh memuatkan tujuh termasuk imam.

Saya berharap surau bergerak yang menelan kos RM100,000 ini, akan menyemarakkan lagi syiar Islam di Bandaraya Ipoh disamping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga MBI yang beragama Islam”, katanya selepas Majlis Pelancaran Surau Bergerak Sempena Majlis Sambutan Israk Mikraj & Ambang Ramadhan Peringkat MBI di Bilik Gerakan, di sini hari ini.

Program ini anjuran Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam MBI dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam MBI (PERKIP) dan Perpustakaan Tun Razak.

Hadir sama, beberapa orang Ahli Majlis MBI antaranya Dato' Mazlan Abdul Rahman, Abu Bakar Hussian, Mahader Ahmad Mohammad Ayob, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Pengarah Kanan, Ketua Jabatan, Pegawai dan anggota MBI.