IPOH - Satu laluan baharu telah dikenalpasti berkemungkinan lokasi paling hampir dua mangsa tertimbus dalam kejadian di Simpang Pulai pada Selasa lepas.

Sehubungan itu, pasukan penyelamat akan melakukan penggerudian pada laluan tersebut hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, perkara itu diputuskan pada perbincangan melibatkan pihak-pihak berkaitan.

Menurut jurucakap itu, pihak kuari akan melakukan penggerudian di lokasi itu pada kedalaman kira-kira 10 meter.

"Kerja-kerja tersebut akan dipantau sepenuhnya oleh pasukan STORM dan pasukan SMART sementara kerja pembersihan dan membuka jalan hingga ke bahagian belakang runtuhan diteruskan.

"Operasi yang masuk hari kedua belas ini diteruskan dengan pemantauan keselamatan yang tinggi," ujarnya.

Usaha mengeluarkan mangsa tertimbus itu melibatkan 50 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Tanah Daerah dan pekerja syarikat kuari.

Dua buah jengkaut turut digunakan bagi kerja-kerja pengalihan batu-batu di bawah komander operasi, Penguasa Bomba Umrani Che Mat.