LUMUT - Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) telah menganjurkan Program Jiwa Murni bersama Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Rumah Wawasan Manjung pada 16 Mac lalu.

Program khidmat kemasyarakatan ini merupakan usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjana dan menyelami konsep aspirasi Keluarga Malaysia.

Matlamat utama program menggariskan penetapan usaha TLDM dalam membantu pihak persatuan melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan persekitaran rumah dan penempatan anak-anak yatim tersebut.

Selain itu program ini meletakkan hasrat untuk menyuburkan hubungan baik antara TLDM bersama komuniti setempat.

Beberapa aktiviti lapangan meliputi gotong royong membersih kawasan penempatan dan persekitaran, proses baik pulih peralatan seperti pembaikan ampaian baju dan jaring tingkap yang rosak, penukaran pili air di rumah masak dan bilik air.

Selain itu, kerja-kerja mengecat bangunan turut dilaksanakan dalam usaha menambahbaik tahap keselesaan penghuni serta mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan lebih kondusif.

Program seumpama ini telah dapat memberi peluang kepada warga MPAB untuk memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat setempat.

Ia juga secara langsung telah membuka ruang buat warga TLDM untuk lebih mendekati anak-anak anak yatim ini dan mempamerkan sokongan serta dorongan semangat untuk mereka.