Kebun Komuniti, hasilnya dinikmati bersama
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 2672
IPOH- Kebun komuniti bukan sahaja mendidik masyarakat kembali kepada usaha ‘Buku Hijau’ dalam melestarikan alam sekitar, malah ternyata mampu memupuk semangat muhibbah dikalangan masyarakat kota.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Dato’ Yunus Jamshari berkata usaha berkebun semakin menjadi trend masyarakat kota sejak bermulanya pandemik Covid-19 yang banyak menyedarkan masyarakat untuk menukar cara kehidupan kepada norma baharu.
“Kenaikan harga barangan termasuk sayuran dipasaran adalah kesan daripada pandemik Covid-19. Justeru itu sepanjang Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) masyarakat telah sedar dan bijak dalam memanfaatkan masa yang terluang untuk bercucuk tanam.
“Walaupun kita kini dalam fasa endemik, tabiat berkebun yang tersemai sejak PKP terus menjadi budaya baharu yang dapat menjimatkan perbelanjaan seharian. Disamping itu, ia menjadi bermanfaat untuk kesihatan.
“Usaha yang dilakukan oleh Persatuan Rakan Kinta Perak ini secara tidak langsung membantu melestarikan alam sekitar melalui pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar”, katanya sempena lawatan beliau ke Program Pelancaran Kebun Komuniti Desa Tambun Indah, di semalam.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman; Pengerusi Persatuan Rakan Prihatin Kinta, Dr Richard Ng; Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali dan Pengarah Perancang Bandar MBI, Mohd Zainal Abdul Hamid.
Sementara itu Dr Richard yang juga merangkap Ahli Majlis MBI Zon 14, berkata aktiviti kebun komuniti membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum untuk bercucuk tanam menggunakan tanah kerajaan yang terbiar dan hasilnya dikongsi bersama.
“Kebun komuniti juga mampu menjamin kualiti makanan yang sikhat dan selamat. Tanaman ini bebas dari semburan racun serangga dan menggunakan baja organik. Ia juga bertepatan dengan sambutan Hari Kepenggunaan Kebangsaan setiap tahun dalam bulan Mac.
“Saya berharap kebun komuniti ini menjadi contoh yang terbaik kepada komuniti setempat yang lain agar dapat memanfaatkan hobi berkebun untuk menghasilkan kehidupan yang lebih sihat disamping mengekalkan kelestarian alam sekitar”, katanya.