JAS Perak serbu kilang kitar semula di Simpang Pulai
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 905
IPOH - Tindakan sitaan telah dilakukan pada peralatan memproses skrap termasuk e-waste di sebuah kilang kitar semula di Simpang Pulai di sini semalam.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan diketuai Timbalan Pengarah negeri, Abdul Aziz Parmin.
"Kerja-kerja memproses skrap tersebut perlu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum dijalankan bagi mengkaji impak aktiviti tersebut terhadap alam sekitar.
"Sehubungan itu, JAS negeri Perak memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran dan premis mencurigakan ," ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Tan Kar Hing dalam hantaran menerusi media sosial Facebook beliau memberitahu, operasi bersepadu tersebut turut melibatkan polis dan Majlis Daerah Batu Gajah.
Katanya, premis kilang tersebut dipercayai tidak mematuhi syarat-syarat dan menyebabkan pencemaran udara sekitar Simpang Pulai.
"Walaupun kami tidak boleh katakan 100 peratus punca pencemaran udara sekitar Simpang Pulai dan Taman Botani berpunca di sini namun pemeriksaan boleh dilakukan.
"Namun, kita akan terus memantau keadaan semasa dan tidak akan teragak-agak untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya," ujarnya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Exco Alam Sekitar negeri, Akmal Haji Kamarudin dan seluruh warga Simpang Pulai yang menyalurkan maklumat.