Pemuda dari Gerik ini nekad berhenti kerja sebagai pengurus dan barista (pembuat kopi) di sebuah kafe di Negeri Sembilan pada awal tahun 2020, untuk menjaga arwah ibunya yang kurang sihat.

Jika diimbas kembali, Muhammad Noor Hafiz Sulaiman, 32, tidak merasa ralat apatah lagi menyesal dengan keputusannya itu.

Malahan, anak tunggal ini kembali ke kampung halaman di Felda Bersia, Gerik dan mengusahakan kios kopi sehingga kini.

Dia yang mesra disapa dengan panggilan Hafiz berkata, pengalaman dan ilmu hampir lima tahun sebagai barista sebelum ini membuatkan dia terus fokus dan kembali menyediakan kopi yang bermutu tinggi kepada pelanggan.

Ujar penggemar kopi ini lagi, dia kini mengusahakan perniagaan kopi dengan jenama Drogato~ Makes You Addicted. Kios tersebut terletak di hadapan rumahnya.

"Ketika mula-mula pandemik COVID-19 melanda dunia, saya berhenti kerja sebab mahu jaga keluarga di kampung.

"Ibu saya menghidap penyakit buah pinggang dan saya buat keputusan untuk balik ke Gerik jaga ibu.

"Bagaimanapun, Allah lebih sayangkan ibu, dia meninggal dunia pada Ramadan lalu. Kini saya fokus untuk usahakan kedai.

"Berkenaan kedai kopi pula, saya memang minat segala-galanya tentang kopi. Bila balik kampung saya mula fikir apa yang boleh dibuat dan saya cuba mulakan perniagaan kopi," katanya.

Jelasnya lagi di sebalik kejayaannya sekarang, terselit cabaran untuk menarik minat penduduk di kawasan tersebut lebih-lebih lagi di kampung yang kebiasaannya sinonim dengan kopi kampung.

"Situasi ini sedikit sebanyak berlawanan kerana di kawasan sini memang kampung (Gerik), kita tahu yang di sini orang sudah biasa dengan kopi kampung. Sebaliknya, kami jual kopi yang standardnya seperti di kawasan bandar, dan kebanyakannya menggunakan mesin.

"Permulaannya memang ada keraguan dalam diri untuk teruskan perniagaan ini di kawasan kampung. Tetapi saya mendengar dan mengambil nasihat rakan-rakan yang berpendapat kalau tidak cuba maka tidak akan dapat jawapan," katanya lagi.

Selain menyediakan minuman berasaskan kopi, kios ini turut menjual serbuk kopi yang dipanggang dan dikisar sendiri.

Katanya lagi, mereka tidak menggunakan kopi segera bagi memastikan rasa dan kualitinya setanding jenama kopi di kafe ternama.

"Kami menjual dalam 10 jenis minuman di sini, harga untuk minuman daripada RM6-RM15 bergantung kepada menu dan jenis air. Pelanggan juga boleh 'add-on' perisa dalam minuman mereka.

"Kami pakai biji 100 peratus biji kopi Arabica yang dipilih dan dibakar sendiri yang diimport dari pengeluar. Biji kopi dipanggang dan dibiarkan lebih kurang seminggu, kemudian baru dikisar dan brew. Kopi yang dibuat berasaskan Espresso.

"Serbuk kopi itu turut dijual kepada pengusaha kafe di beberapa negeri," katanya yang kini dibantu tiga orang pekerja.

Dia mengakui perlu meletakkan harga sedikit rendah berbanding biasa memandangkan faktor kawasan di situ, namun katanya penerimaan orang ramai terhadap jenama kopi itu semakin memberangsangkan.

"Alhamdulillah ramai orang masuk ke Felda Bersia dan sambutan menggalakkan, kita faham untuk harga di kawasan kampung RM5 untuk air kopi memang mahal. Tetapi penerimaan orang kampung untuk kopi yang fresh memang diterima baik

"Boleh kata untuk dapatkan kopi berasaskan Expresso di Gerik memang kita yang pertama (jual).

"InsyaAllah selepas ini memang ada perancangan dan sasaran untuk luaskan perniagaan kopi di kawasan pekan dekat sini pula," katanya.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan kopi jenama ini boleh hubungi Hafiz di talian 011-5551 4500, alamat perniagaan No 14B, Felda Bersia, Gerik. - Peraktastic-