Bukan sekali tetapi sudah masuk kali kedua Masjid Lama Kampung Kuala Dal atau kini dikenali sebagai Masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Padang Rengas ini dibaik pulih daripada kerosakan.

Namun begitu difahamkan situasi dan pemandangan terkini masjid yang sarat dengan seni bina tradisional dan unik ini kelihatan tidak begitu terurus, malah ada beberapa bahagian binaan itu mulai mereput khususnya di dinding dan kayu.

Kunjungan Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee di masjid yang hampir menjengah usia 90 tahun mendapati beberapa strukturnya mulai kusam dan terbiar mereput, seolah-olah tiada pemantauan di situ.

Tidak bermaksud menuding jari atau mencari salah mana-mana pihak, Nor Hisham memberitahu tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan warisan negeri Perak ini kekal terpelihara.

"Beberapa tahun sebelum ini saya difahamkan ia sudah dijadikan sebagai galeri, yang mana diuruskan oleh Jabatan Warisan Negara. Ada sebuah masjid baharu di sebelah masjid lama ini.

"Kali terakhir ia dibaik pulih ialah pada tahun 2015 tetapi saya agak terkejut sebab kelihatan seperti ia kembali terbiar, kita tidak mahu ia kembali rosak sebab kos baik pulih itu memang mahal.

"Kos untuk memulihara bangunan warisan memang memerlukan kos tinggi, jadi saya harap kerosakan itu tidaklah teruk seperti sebelumnya. Tinjauan saya di situ mendapati dinding tepas dan bingkai kayu mulai rosak, itu baru di luar tetapi di dalam (masjid) belum tahu lagi," katanya ketika dihubungi Peraktastic.

Sebagai pencinta warisan dan sejarah, Nor Hisham menyarankan supaya semua pihak dan agensi berkaitan bekerjasama untuk menghidupkan semula aktiviti di situ, secara tidak langsung dapat mengelakkan bangunan itu rosak akibat tidak digunakan.

"Tanah itu sendiri merupakan hak milik pemegang wakaf iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), sepatutnya Jabatan Warisan bekerjasama dengan MAIPk, Majlis Agama Daerah termasuk Ahli Jawatankuasa masjid.

"Sekurang-kurangnya ada pengisian di masjid atau galeri tersebut selepas dibaik pulih. Sebaiknya perlu rancang sesuatu selepas satu-satu bangunan itu dibaik pulih, untuk elak rosak semula," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak promosi dan pendedahan diberikan mengenai masjid berkenaan.

"Kalau kita lihat selepas tol Kuala Kangsar menuju ke Padang Rengas itu agak kurang promosi atau papan tanda kewujudan masjid bersejarah ini.

"Memang ia termasuk dalam Jejak Warisan Masjid Perak, tetapi entah di mana silapnya mungkin kurang hebahan atau promosi.

"Cadangan saya mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) uar-uarkan dan lebihkan pendedahan kepada masyarakat umum, kalau boleh babitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih baik," katanya lagi.

Memberi contoh Melaka sebagai bandar raya bersejarah yang begitu menitikberatkan aspek warisan, beliau berharap Perak mengikut jejak langkah negeri tersebut dalam menjaga nilai warisan yang sangat berharga.

"Saya perasaan agak kurang kesedaran sebab kita di Perak berbeza dengan Melaka dan Pulau Pinang, kedua-dua negeri ini menjaga baik warisan kerana itu sumber utama ekonomi.

"Berbeza dengan di Perak mungkin kerana itu bukan sumber utama negeri, contohnya di Melaka memang dapat lihat mereka begitu menjaga aspek berkenaan (warisan dan pelancongan).

"Kalau ikutkan sejarah di Kuala Dal ini juga ada satu lata atau air terjun yang memang sejak dulu turun temurun Sultan-Sultan beriadah di situ, buat aktiviti yang dulu dinamakan 'menggelunchor' atau menggelongsor, pegawai-pegawai British pun turut sertai," katanya.

Mengimbas serba sedikit mengenai sejarah masjid ini, ia terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Keunikan masjid ini dapat dilihat menerusi reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung, selain itu dinding masjid dua tingkat ini dibuat daripada buluh minyak yang dianyam, iaitu 'dinding tepas/tepus'.

Masjid ini dibina pada tahun 1936 dan dibiayai oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30. Papan plak perasmian di masjid ini mencatatkan perasmian berlangsung pada 11 Februari 1938.

Ia dibina setelah baginda menunaikan nazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang anakanda baginda sembuh daripada gering.

Difahamkan seni bina masjid ini diilhamkan oleh baginda sendiri yang dipengaruhi ciri-ciri seni bina Istana Kenangan, Bukit Chandan.

Masjid ini tidak lagi digunakan pada tahun 1976, setelah masjid baharu iaitu Masjid Al-Wahidiah dibina.

Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada Disember tahun 2008, menerusi portal rasminya mereka memberitahu antara masalah yang dihadapi bagi projek ini ialah penyediaan dinding tepas.

Ia ekoran tiada tukang yang mahir membuat anyaman selain kekurangan buluh minyak tempatan untuk membuat dinding kelarai. Justeru itu, Jabatan Warisan Negara mendapatkan khidmat tukang serta sumber buluh dari Perlis, mengikut jenis asal. - Peraktastic-