TELUK INTAN - Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) telah menjalankan operasi pembersihan di kawasan jalan Kampung Banjar pada pagi semalam.

Kerja-kerja pembersihan bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir tiga jam kemudian dibantu sebuah jentolak serta tiga buah lori terbuka yang digunakan untuk membersihkan longgokan sampah haram dikawasan tersebut.

Bahagian Komuniti dan Perhubungan Awam MPTI dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya hanya membersihkan sahaja kawasan tersebut yang sebenarnya di luar kawasan operasi MPTI manakala jalan tersebut dibawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

"MPTI mengingatkan masyarakat supaya membuang sampah di tempat sepatutnya dimana MPTI telah membekalkan tong sampah terbuka di beberapa lokasi sesuai.

"Tindakan membuang sampah di tepi jalan tidak sepatutnya dilakukan selain mencemarkan kawasan sekitar," ujar kenyataan itu.

Individu yang sengaja berbuat demikian boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 75 (1) dan (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Sekiranya disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM1,000 boleh dikenakan.